Print this page
Friday, 18 September 2015 12:01

SAINGAN KBS MAM KAPCAI ENDURANCE SINGGAH DI SEPANG UNTUK PUSINGAN KEDUA

Khamis, 17 September 2015 – Misi menjadi Raja Kapcai Negara musim ini berterusan dengan saingan Pusingan kedua KBS MAM Kapcai Endurance 2015 diadakan di Litar Go Kart, Sepang dengan jumlah penyertaan yang lebih besar khususnya daripada golongan muda.

 

Ternyata sokongan yang diberikan kepada kejuaraan ini semakin meningkat khususnya daripada golongan muda dan pendatang baru kepada sukan lumba motosikal ini. Terdapat banyak bakat terpendam di luar sana yang ingin berlumba tetapi tidak mendapat peluang khususnya kerana kos perbelanjaan yang tinggi.

“Kojohanan Kebangsaan KBS MAM Kapcai Endurance ini menyediakan peluang terbaik untuk mereka melibatkan diri khususnya kerana kos yang sederhana. Kami mendapat banyak maklumbalas yang positif selepas saingan pembukaan di Melaka. Saya jangkakan jumlah penyertaaan yang lebih besar pada hujung minggu ini di Sepang,” kata Dato’ Razlan Razali, Ketua Pegawai Eksekutif MAM (Persatuan Pemotoran Malaysia).

Melahirkan rasa gembira beliau dengan sambutan yang diberikan oleh para pelumba, pasukan dan peminat sukan pemotoran untuk saingan pusingan pertama, Dato’ Razlan turut melahirkan penghargaan kepada para penaja dan badan-badan kerajaan terhadap edisi keempat kejuaraan berkenaan.

“Saya harap semua akan terus menyokong program ini, yang diharapkan akan mencungkil lebih banyak bakat dalam sukan lumba motosikal. Kita sudah mempunyai program yang berstruktur untuk mereka yang berminat menjadi pelumba professional. Kejuaraan ini boleh menjadi titik permulaan karier anda,” tambah Dato’ Razlan, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang.

Berkongsi pandangan Dato’ Razlan, Tuan Haji Salleh Ramli iaitu Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia berharap lebih ramai golongan remaja mengambil peluang yang telah disediakan untuk bergiat dalam sukan ini.

“Golongan remaja boleh menggunakan masa yang terluang untuk sesuatu yang positif dengan  beriadah dengan sukan dua roda ini sekali gus mencuba nasib untuk menjadi para pelumba profesional. Kita tidak akan tahu sejauh mana bakat kita kalau tidak mencuba. Kerana itu, saya menyarankan golongan remaja mengambil peluang ini,” kata Tuan Haji Salleh.

Seperti di Melaka, empat kategori saingan akan dipertandingkan – Kelas A untuk jentera di bawah 100cc; Kelas B untuk jentera di bawah 120cc; Kelas C untuk jentera di bawah 150cc dan Kelas Terbuka untuk para pelumba ‘expert’.

 

Selepas, saingan Pusingan 3 akan diadakan di Pahang pada 3 dan 4 Oktober sebelum Pusingan 4 diadakan di Kedah pada 30 dan 31 Oktober. Saingan Pusingan Akhir akan diadakan di Sepang daripada 20 hingga 22 November.

 

Kalendar kejohanan ini bagi tahun 2014 adalah seperti berikut: -

 

Pusingan 2                  19 – 20 September                 Litar Go-Kart SIC

 

Pusingan 3                  3 – 4 Oktober                          Pahang

 

Pusingan 4                  30 – 31 Oktober                      Kedah

 

Pusingan Akhir            20-22 November                     Sepang

Read 977 times