Saturday, 10 October 2015 00:00

PERTARUNGAN SENGIT UNTUK SAINGAN DI PEKAN ESOK

 PEKAN, 10 Oktober – Pertarungan sengit menyusul pada saingan Pusingan 3 Kejuaraan KBS-MAM Kapcai Endurance 2015 di Litar Taman Tasik Inderapura di sini apabila empat pasukan teratas untuk kategori terbuka dibezakan dengan kurang daripada satu saat pada sesi kelayakan hari ini. 

 

Diungguli oleh pasukan CAPIT Racing, yang mencatat masa 50.014 saat untuk lap terbaik sekeliling litar sepanjang 1km itu, mereka sekadar 0.454 saat di hadapan pesaing terdekat pasukan TIE EB Racing yang mencatat 50.468 saat.

PMP Motorsports dan AEM Motorsport menduduki tempat ketiga dan keempat dengan masing-masing mencatat masa 50.612 saat dan 50.625 saat dalam sesi kelayakan, yang diadakan bersama-sama dengan para pelumba daripada Kelas 3.

Saingan Kelas 3 diungguli oleh pasukan CAPIT Racing 3, yang menduduki tempat kelima keseluruhan dengam catatan masa 50.933 saat bagi kelas 3 dan terbuka. Tempat kedua untuk kelas ini dimenangi oleh pasukan KW BGO Racing Team Suzuka, yang mencatat masa 51.794 saat.

Saingan Kelas 2 untuk jentera di bawah 120cc diungguli oleh pasukan WJJ Motorsport, yang mencatat masa 52.083 saat. SPR Racing Amat Ayam menduduki tempat kedua dan Maquzy Racing 1 mencatat masa ketiga terpantas untuk kelas ini.

Pertarungan untuk jentera-jentera di bawah 100cc untuk Kelas 1 diungguli oleh pasukan Capit Racing 2, yang mencatat masa 54.268 saat. 

Sebanyak 53 pasukan menyertai saingan Pusingan 3, yang mencari jaguh-jaguh daripada Pantai Timur untuk merebut tiket ke saingan akhir, yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada bulan Disember nanti.

Kejohanan Kebangsaan KBS MAM Kapcai Endurance pada pusingan ini diserikan dengan perlumbaan sokongan MiniGP dengan disertai seramai 13 pelumba.

 

Read 642 times