Monday, 12 October 2015 10:12

PUSINGAN 3 FAZLI SHAM, MUHAIMIN ROSLAN JULANG NAMA TIE SB RACING DI PEKAN

PEKAN, 11 Oktober – Gandingan berpengalaman Ahmad Fazli Sham dan Abdul Muhaimim Roslan mengungguli pertarungan di Litar Litar Taman Tasik Inderapura di sini hari ini untuk menghadiahkan kemenangan hebat kepada pasukan TIE SB Racing Team pada saingan Pusingan 3 Kejuaraan KBS-MAM Kapcai Endurance 2015.

Menunggang jentera Yamaha 135cc, pasangan itu telah menamatkan 135 lap dalam ujian kecergasan diri dan ketahanan jentera selama dua jam mengelilingi litar mencabar sepanjang satu kilometer itu untuk mengungguli saingan kelas terbuka dalam kejuaraan berkenaan.

Tempat kedua untuk kelas berkenaan dimenangi oleh pasukan PMP Motorsports 1, yang dipacu oleh pelumba Muhammad Syawal Mohd Noor dan Zaidy Mohd Zahaizal, yang ketinggalan satu lap dengan catatan 134 lap dan menggunakan jentera Yamaha 150cc.

Pasukan CAPIT Racing, yang memberikan sokongan kuat pada kejuaraan ini dengan penyertaan dalam semua kelas pertandingan, menduduki tempat ketiga apabila pelumba mereka Muhammad Haeikal Akmal dan Safrizan Buang berjaya menamatkan 132 pusingan dengan jentera Yamaha 135cc mereka.

Bergandingan dengan Muhammad Aliff Aiman Tumiran untuk pasukan SPR Racing Fatt Fatt Melaka, pelumba wanita terulung negara Siti Norafizah Muhammad atau Fifi bernasib malang kerana cabaran mereka terkandas selepas 128 pusingan dengan masalah mekanikal.

Gagal menempah kemenangan untuk kelas terbuka hari ini, pasukan Capit Racing muncul juara untuk Kelas 3 untuk jentera di bawah 150cc melalui gandingan mantap Mohamad Khuzani Mahmood dan Muhammad Syazali Ashari, yang melengkapkan 133 lap dalam saingan dua jam itu dengan jentera Yamaha mereka.

Tempat kedua dimenangi oleh gandingan Mohd Ilham Mohd Kamal dan Atan Mahamad Basir dari pasukan PMP Motorsport, yang membuat 128 lap manakala tempat ketiga dimenangi oleh gandingan Shaful Yusri dan Amir Farhan dari pasukan Tok Gajah Racing, yang membuat 127 lap.

Saingan Kelas 2 untuk jentera di bawah 120cc diungguli oleh Mohd Zulkefli Ali dan Tengku Syahmi Tuan Yusoff dari pasukan SPR Racing Amat Ayam, yang menamatkan 130 lap dalam tempoh dua jam pertandingan. Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh NK POSSUM Junior Team dan Angah 77 Team, yang membuat 129 pusingan.

Pertarungan Kelas 1 untuk jentera di bawah 100cc dimenangi oleh TSR–SMW Racing Team, yang dipacu oleh gandingan Mohd Amiruddin Omar dan Mohd Azizi Jamaluddin dengan melengkapkan 128 lap. Pasukan CAPIT Racing Team 1 dan 2 mendapat tempat kedua dan ketiga dengan menamatkan 124 lap.

Sebanyak 53 pasukan menyertai saingan Pusingan 3, yang mencari jaguh-jaguh daripada Pantai Timur untuk menyertai saingan akhir, yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang daripada 20 hingga 22 November nanti.

Kejuaraan kapcai endurance yang dianjurkan oleh Motorsport Association of Malaysia (MAM) dengan sokongan padu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Sepang International Circuit (SIC), adalah inisiatif untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan lumba motosikal di samping untuk memperbanyakkan lagi pertandingan kompetitif untuk para pelumba negara.

Saingan Pusingan 4 akan diadakan di kampus Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah pada 30 dan 31 Oktober. Kejuaraan musim ini bermula dengan saingan pembuka musim di Melaka sebelum pusingan kedua diadakan di Litar Go-Kart Sepang. 

 

KEPUTUSAN – TIGA TEMPAT TERATAS 

KELAS TERBUKA 

1.TIE EB Racing Team – 135 lap

2. PMP Motorsports 1 – 134 lap

3. CAPIT Racing – 132 lap

 

KELAS 3 

1.CAPIT Racing 3 – 133 lap

2. PMP Motorsport – 128 lap

3. Tok Gajah Racing – 127 lap

 

KELAS 2 

1.SPR Racing Amat Ayam  - 130 lap

2. NK POSSUM Junior Team – 129 lap

3. Angah 77 Team - 129 lap 

 

KELAS 1

1.TSR – SMW Racing Team 1 - 128 lap

2. CAPIT Racing Team 1 - 124 lap

3. CAPIT Racing Team 2 – 124 lap

Read 691 times