Wednesday, 04 November 2015 11:38

PUSINGAN KE 4 PELUANG AKHIR UNTUK KE SAINGAN AKHIR KAPCAI ENDURANCE DI SEPANG

Saingan kejuaraan KBS MAM Kapcai Endurance 2015 memasuki pusingan keempat di Sintok, Kedah hujung minggu ini bagi menyediakan peluang terakhir bagi para pelumba negara yang ingin bergelar jaguh kapcai kebangsaan musim ini.

 

Selepas pertarungan di Ayer Keroh, Melaka; Litar Motocross SIC dan Taman Tasik Inderapura di Pekan, Pahang, saingan kini beralih ke kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah yang menjadi gelanggang tetap untuk kejuaraan lumba motosikal yang semakin popular sejak diperkenalkan tiga tahun lepas.

“Pusingan di kampus UUM, Sintok ini setiap tahun menarik penyertaan yang besar. Lebih hebat lagi, ia menampilkan bakat-bakat baru khususnya daripada golongan remaja. Sememangnya, itulah tujuan kami di MAM (Pertubuhan Sukan Bermotor Malaysia) menganjurkan kejuaraan ini – mencungkil bakat akar umbi dan memberi peluang mereka yang ingin mencuba nasib serta menunjukkan bakat mereka.

“Seperti pada edisi-edisi lepas, kita sebenarnya kaya dengan bakat dan terdapat ramai remaja di luar sana yang ingin menceburkan diri dalam sukan lumba motosikal secara serius; tetapi menghadapi pelbagai kekangan dan halangan. Kejuaraan ini diwujudkan untuk membantu kumpulan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Dato Razlan Razali.

Disokong penuh oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Sepang International Circuit (SIC), saingan peringkat akhir akan diadakan di Litar Sepang daripada 20 hingga 22 November ini bersama-sama dengan saingan Pusingan Akhir Malaysia Superbike Championship (MSC).   

“Bagi pihak MAM dan SIC, kami merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong usaha murni untuk menganjurkan kejohanan ini khususnya pihak UUM, yang sememangnya menjadi penyokong kuat kepada kejuaraan ini.

“Untuk sukan pemotoran ini khususnya sukan lumba motosikal ini untuk berkembang, sokongan untuk memajukan pembangunan akar umbi adalah penting. Sekiranya tidak dilaksanakan dengan baik, adalah mustahil untuk kita membenteras gejala lumba haram di kalangan anak-anak remaja,” tambah Dato Razlan. 

Terbuka hanya untuk jentera underbone, empat kategori akan dipertandingkan untuk saingan Pusingan 4 ini – Kelas 1 untuk jentera di bawah 100cc, Kelas 2 untuk jentera di bawah 120cc, Kelas 3 untuk jentera di bawah 150cc dan Kelas Terbuka untuk para penunggang kategori pakar atau ‘expert’. 

“Kelas Terbuka ini sengaja kami adakan untuk memastikan peluang terbuka kepada para pelumba baru untuk mencatat kemenangan. Dengan adanya peluang untuk menang, mereka akan lebih bersemangat untuk mengambil bahagian dan mencuba nasib,” tambah Dato Razlan.

Mereka yang berminat untuk menyertai saingan di kampus UUM, Sintok boleh menghubungi pihak penganjur pada talian 6013 249 3069 atau e-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Read 623 times