Monday, 27 February 2017 17:48

PERJUANGAN CAPIT DEMI MARUAH ANAK FELDA, BANGSA JOHOR


Isnin, 27 Februari 2017 - Capit Racing, nama yang sinonim dengan Kejuaraan Kebangsaan MAM Kapcai Endurance mengungguli saingan Pusingan 2 edisi kelima kejohanan berkenaan yang diadakan di Litar Go-Kart Sepang semalam (26 Februari 2017).

Capit nama mesra Safrizan Buang merupakan pelumba negara yang pernah bersaing di pentas Kejohanan Cub Prix Malaysia dan Malaysian Super Series menganggap kejayaan semalam adalah yang paling signifikan memandangkan cabaran yang dihadapi musim ini.

“Musim ini, kami menghadapi cabaran paling getir dari segi penajaan. Sukar bagi kami mendapatkan penajaan bagi musim ini, tetapi kami tetap berusaha demi memartabatkan imej anak-anak FELDA dan bangsa Johor. Kerana itu, kami mengambil bahagian musim ini dan kami berazam untuk memenangi kejuaraan keseluruhan pada pusingan akhir. 

“Hari ini adalah perlumbaan yang amat sukar kerana tiga kali kena ‘red flag’ (diberhentikan) kerana pelbagai insiden di trek. Ia benar-benar menguji kekuatan mental pelumba. Tetapi, saya beritahu rakan-rakan pasukan saya supaya kekalkan fokus dan terus berjuang habis-habisan. Alhamdulillah, strategi dan percaturan kami berjaya di sini hari ini,” kata Safrizan, yang memimpin pasukan utama bagi Kelas Terbuka.

Bukan saja berjaya muncul juara saingan Kelas Terbuka di Sepang bersama-sama dengan Muhammad Haeikal Akmal Zakaria dan Shah Kharil Hisham Mahmood, pasukan Capit Racing turut mendapat tempat ketiga bagi kelas berkenaan melalui gandingan Mohammad Khuzairi Mahmood dan Mohammad Khairi Zakaria.

Capit Racing turut mengungguli saingan Kelas 1 untuk jentera di bawah 100cc melalui gandingan Muhammad Syuzali dan Mohd Syafirin, yang menamatkan 84 lap perlumbaan dalam saingan endurance dua jam dalam perlumbaan yang turut menyaksikan bendera merah dikibarkan sekali kerana insiden di litar.

Berasal dan dibesarkan di FELDA Sungai Tiram Johor, Safrizan melihat kejuaraan MAM Kapcai Endurance ini sebagai pentas yang ideal untuk mencungkil bakat-bakat baru khususnya bagi mereka di kawasan kampung dan luar bandar yang tidak banyak peluang untuk menyertai perlumbaan secara kompetitif.

“Kerana itu, saya tubuhkan Capit Racing bagi memberi peluang kepada rakan-rakan saya di kampung dan negeri Johor untuk mendapat peluang ini. Sukan pemotoran ini cukup hebat dan penuh keterujaan. Dan, FELDA memang banyak bakat-bakat terpendam dalam sukan lumba motosikal ini,” kata Safrizan, yang berlumba dengan pasukan Ah Hong Motor semasa bersaing di pentas Cub Prix antara tahun 2001 dan 2005 dan pernah muncul juara untuk kelas Yamaha 125z.

Katanya, Capit Racing menyertai saingan Kapcai Endurance ini sejak edisi kedua pada tahun 2013 dan muncul juara keseluruhan untuk saingan Kelas 3 untuk edisi keempat pada 2015. Pada tahun yang sama, pasukan berkenaan turut menduduki tempat kedua keseluruhann untuk saingan Kelas 1.

“Walaupun tidak dapat menghantar banyak pasukan seperti edisi-edisi lepas, kami akan cuba sedaya upaya untuk memenangi kejuaraan keseluruhan pada saingan Pusingan Akhir di Litar Sepang pada bulan April nanti,” kata Capit.  

Tempat kedua untuk saingan Kelas 1 dimenangi oleh pasangan Aqmal Faiz dan Muhammad Amiruddin Omar dari pasukan KOZI TSR SMW Racing manakala tempat ketiga dimenangi oleh Daniy Azman, Mohamed Hairuddin dan Abu Yazid dari pasukan Storm Rider Junior Racing.

Saingan Kelas 2 untuk jentera di bawah 120cc dimenangi oleh pasukan MAQUZY Racing 3, yang menamatkan 84 lap melalui gandingan Mohamad Farhan Abdullah dan Faris Azwan Abdullah. Tempat kedua dimenangi oleh gandingan tiga pelumba Fikri Azman Noordin, Muhamad Luqman Mohd Sani dan Muhamad Haziq Ruzaiman dari pasukan KW KYOTO Racing 1. Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan MAQUZY Racing 1 yang membariskan Mohd Nairulnizam Mohd Rosdi dan Saiful Nizam Ariffin.

 

 

 

 

 

Saingan Kelas 3 untuk jentera di bawah 150cc dimenangi oleh pasukan PMP 52 Racing, yang dipacu oleh Atan Mohamad Nasir dan Mohd Ilham Mohd Kamal dan menamatkan 91 lap. Tempat kedua dimenangi oleh Mohd NorFadzril Osman dan Mohd Shazlan Mohd Radzi daripada pasukan Rayyan Motorsport manakala tempat ketiga dimenangi oleh pasukan GRT2, yang membariskan Muhammad Syukri Saharuddin, Muhammad Hamid Saparuddin dan Muhammad Hanif Saparuddin.

Pihak MAM akan mengumumkan tempat dan tarikh bagi saingan pusingan 3 dalam waktu masa yang terdekat.

 

 

 

Read 189 times