
National ET Record Championship Road Tour 2023 – Drag Racing (MAM non-sanctioned event)
June 9, 2023
Asia Pacific Motorsport Championship Latest Info | Rally Cup
September 6, 2023Selasa, 5hb September 2023 – Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) amat dukacita diatas berita pemergian arwahyarham Hattem Rashdi di Acara Perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023, yang berlangsung di litar Pekan, Pahang pada 2hb – 3hb September 2023. Pihak MAM juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah.
Untuk makluman semua, Acara Bike National ET Record Championship 2023 ini TIDAK diluluskan dan diiktiraf (“sanctioned”) oleh pihak MAM. Sepertimana semua sedia maklum, sukan permotoran merupakan suatu sukan yang merbahaya. Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang ingin menyertai sukan permotoran baik selaku penganjur, pemilik litar atau pelumba berkewajipan untuk mematuhi segala peraturan- peraturan dan protokol-protokol ketat yang telah ditetapkan demi memastikan tahap keselamatan yang tertinggi, meningkatkan persaingan dan akhirnya memberi peluang kepada pelumba dan penonton untuk menikmati acara perlumbaan tersebut.
Acara-acara yang diiktiraf (“sanctioned events”) oleh pihak MAM dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang telah ditetapkan oleh pihak FIA dan FIM berkaitan dengan penganjur-penganjur, kemudahan-kemudahan, peserta- peserta dan kenderaan-kenderaan. Acara-acara sukan permotoran yang dikawal- selia atau diiktiraf akan memberi parameter yang jelas kepada penganjur-penganjur dan peserta-peserta mengenai persekitaran perlumbaan yang selamat, penglibatan marshal serta pegawai-pegawai perlumbaan yang berkelayakan dan berpengalaman, persediaan litar yang merangkumi aspek keselamatan, pasukan perubatan dan perlindungan insuran kepada penonton, pelumba, pegawai dan penganjur. Oleh yang demikian, penganjur-penganjur amat digalakkan untuk mendapat acara-acara mereka diluluskan dan dikawal-selia (“sanctioned”) dengan bekerjasama dengan pihak MAM.
Meskipun demikian, kelulusan dan pengawalan-selia mana-mana acara adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah pihak FIA, FIM serta Peraturan-Peraturan Pertandingan Kebangsaan (“NCR”), yang dikenakan, dipantau dan harus dipatuhi tanpa kompromi.
Pihak MAM ingin menegaskan bahawa MAM tidak menyokong acara yang tidak diiktiraf dimana keselamatan pegawai, pelumba, penonton dan penganjur amat penting dan untuk memastikan setiap penganjuran dijalankan dengan mengikut aspek-aspek keselamatan yang telah ditetapkan. Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama-sama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan MAM telah mengadakan perbincangan bagi kemaskini pentadbiran dan undang-undang acara sukan permotoran dengan lebih teratur dan tersusun.
Pihak MAM amat berharap agar semua pihak-pihak yang berkenaan dapat memberi kerjasama untuk memastikan bahawa penganjuran yang tidak diiktiraf seperti ini dapat dihalang demi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi Puan Nor Lina Ayob di emel norlina@mam.org.my.