
GARIS PANDUAN PENGANJURAN SUKAN PERMOTORAN DRAG
August 27, 2024
Malaysia Festival of Speed 2024
September 13, 2024Pihak Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) telah mengadakan sidang media pengumuman garis panduan sukan drag dan motocross dengan kerjasama pihak Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) yang bertempat di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini (29 Ogos 2024).
Sidang media ini telah dihadiri oleh Yang Berhormat Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, Y.Brs Puan Ramona Mohd Razali, Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Y.Bhg Tan Sri Mokhzani Mahathir, Presiden MAM, Y.Bhg Dato’ Mohammed Rhiza Ghazi, Timbalan Presiden MAM, Y.Brs Encik Suhardi Alias, Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Y.Brs Encik S.N. Nanthan, Setiausaha Agung MAM, Y.Brs Superintenden Tuan Khairul Azhar, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, pemegang-pemegang taruh sukan permotoran negara, kelab-kelab ahli gabungan MAM dan rakan-rakan media.
Garis panduan ini telah dikeluarkan selepas selesai bengkel pemurnian modul disiplin sukan drag dan motocross yang telah diadakan bersama pemegang taruh dan penganjur-penganjur yang terlibat dalam sukan drag dan motocross. Bengkel ini diadakan bagi menyelaraskan manual atau garis panduan pelaksanaan modul disiplin sukan drag dan motocross asas dalam memastikan pelaksanaan program mematuhi garis panduan yang disediakan dalam Pembangunan Sukan Permotoran Negara.
Garis panduan ini dimuatnaik ke dalam media sosial MAM di laman sesawang https://mam.org.my/downloads/ dan KBS serta digunapakai oleh semua pemegang taruh sukan bermotor dan akan diedarkan kepada semua pihak berkuasa seperti PDRM, KPKT dan pihak Berkuasa Tempatan.
Garis panduan ini meliputi aspek pengenalan, perundangan, penguatkuasaan, keselamatan dan pengendalian penganjuran kedua-dua sukan permotoran ini.
Diharapkan dengan adanya garis panduan sukan drag dan motocross ini dapat mengurangkan risiko kemalangan seterusnya meningkatkan pelaksanaan aktiviti sukan bermotor yang terkawal dan selamat.